Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Seorang lelaki dihukum penjara selama 24 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya.

Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membuat keputusan itu selepas tertuduh, Ahmad Zughairi Mohd Zuki, 36, mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa yang berusia 36 tahun di hadapan sebuah rumah di Bukit Payung di sini, pada 7.45 malam pada 3 Mei lalu.

Tertuduh mengulangi kesalahan sama masing-masing di dua lokasi berasingan di Bukit Payung di sini, pada 15 Julai dan 22 Julai lalu.

Bagi setiap kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A KK.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan pertama.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara masing-masing lapan dan 10 bulan bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

Bagaimanapun, tertuduh hanya menjalani hukuman penjara 10 bulan selepas mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula daripada tarikh sabitan iaitu hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Othman Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam, Che Amir Che Musa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 3:25 PM
SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara 24 bulan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya. FOTO Ghazali Kori
SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara 24 bulan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya. FOTO Ghazali Kori