KEADAAN kawasan rumah penduduk yang dinaiki air. FOTO Ihsan APM
KEADAAN kawasan rumah penduduk yang dinaiki air. FOTO Ihsan APM
Nor Farhani Che Ad


SERAMAI 22 penduduk dari enam keluarga di dua kampung di Bagan Samak di Bandar Baharu

dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas banjir kilat di kawasan berkenaan, malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kechil Ulu itu mula dibuka pada 10.30 malam.

"Hujan lebat lebih dua jam sejak 6 petang semalam menyebabkan limpahan air Sungai Tepus dan air bukit ke dua kampung iaitu Kampung Sungai Tepus dan Kampung Pasir Debu.

"Berikutan itu, seramai 22 mangsa termasuk lima kanak-kanak terpaksa dipindahkan ke PPS selepas rumah mereka dinaiki air setinggi 0.5 meter," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Rahim berkata, paras air didapati semakin surut, bagaimanapun, pemindahan mangsa masih dijalankan bagi memastikan kesemua mangsa banjir berada dalam keadaan selamat.

Katanya, pihaknya akan terus memantau keadaan banjir di kawasan berkenaan berikutan cuaca masih mendung.

Beliau berkata, proses pemindahan mangsa turut dibantu agensi lain seperti polis, Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 8:22 AM