GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Alor Setar: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kedah yang membabitkan daerah Bandar Baharu, di sini, bagi menempatkan 21 mangsa banjir daripada sembilan keluarga pada malam ini.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu Lt (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kechil Ulu itu diaktifkan pada 8 malam.

Beliau berkata, ini kerana hujan lebat yang agak luar biasa melebihi tempoh sejam pada 3.15 petang itu, menyebabkan air melimpah serta saliran parit yang tersumbat sehingga air memasuki rumah penduduk di Mukim Bagan Samak.

"Sebanyak 21 rumah penduduk terbabit yang membabitkan Kampung Parit Nibong, Kampung Asam Kumbang, Taman Cahaya Nilam dan kawasan sekitar Sungai Tepus," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Abdul Rahim berkata, meskipun paras air surut secara perlahan, air masih bertakung dengan lumpur di rumah penduduk yang berada di PPS berkenaan.

"APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) melakukan pemantauan di kawasan yang dinaiki air dan membantu mengepam air keluar dari rumah penduduk yang dimasuki air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 10:46 PM