PENDUDUK dipindahkan selepas banjir melanda Kampung Cherok Meranti, Sungai Batu, Bandar Baharu. FOTO ihsan Bomba
PENDUDUK dipindahkan selepas banjir melanda Kampung Cherok Meranti, Sungai Batu, Bandar Baharu. FOTO ihsan Bomba
Nor Farhani Che Ad


SERAMAI 30 mangsa daripada empat keluarga di Kampung Paya Tok Betok, Kulim dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan kediaman mereka dilanda banjir, semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Kulim, Leftenan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini, berkata, kesemua mangsa dipindahkan ke PPS Dewan Paya Tok Betok yang dibuka, 10 malam tadi.

"Hujan lebat lebih sejam sejak 4.30 petang menyebabkan air di kawasan bukit melimpah ke kawasan yang rendah.

"Berikutan itu 30 mangsa terdiri daripada enam lelaki termasuk seorang warga emas, 13 wanita (dua warga emas), empat kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan terpaksa dipindahkan ke PPS," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ketika ini air semakin surut dan APM meneruskan pemantauan di kawasan banjir bagi memastikan keadaan selamat.

Sementara itu, 26 mangsa membabitkan empat keluarga dari Kampung Cherok Meranti, Sungai Batu, Bandar Baharu turut dipindahkan ke PPS.

Dalam kejadian 6.11 petang itu, kesemua mangsa banjir kini ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Batu.

Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, hujan lebat lebih dua jam menyebabkan kediaman mangsa dinaiki air sedalam hampir setengah meter.

"Kawasan terjejas juga berada pada laluan air di hulu menyebabkan banjir kilat berlaku," katanya.

Beliau berkata, operasi pemindahan penduduk membabitkan APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan penghulu mukim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 10:56 AM