ANGGOTA APM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengemas barangan di PPS SK Sungai Kechil Ulu selepas semua mangsa banjir dibenarkan pulang. FOTO ihsan APM
ANGGOTA APM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengemas barangan di PPS SK Sungai Kechil Ulu selepas semua mangsa banjir dibenarkan pulang. FOTO ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kechil Ulu, Bandar Baharu yang menempatkan 23 mangsa banjir kilat daripada 11 keluarga ditutup sepenuhnya hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu merangkap Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, PPS itu ditutup pada jam 2 petang.

Beliau berkata, kesemua mangsa sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bagi proses pembersihan selepas air surut.

"Keadaan cuaca kembali cerah dan air sudah surut sepenuhnya.

"Aliran air sungai berdekatan mengalir perlahan dan paras air di luar perkarangan rumah mangsa juga surut malah paras air sungai juga berada pada paras normal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hujan lebat yang bermula jam 3.15 petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di Bagan Samak, Bandar Baharu dinaiki air sedalam 0.3 meter dalam banjir kilat.

Antara kampung yang terbabit adalah di Parit Nibong, Taman Cahaya Nilam, Asam Kubang dan Sungai Tepus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 5:05 PM