Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Anak bekas Timbalan Perdana Menteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menghina kerabat diraja Johor, tahun lalu.

Tertuduh, Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghafar, 71, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mohd Tamrin yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Berendam dituduh menggunakan blog secara sedar membuat komunikasi jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain yang dibaca di laman Facebook.

Tertuduh yang juga bekas Pengerusi Mara didakwa melakukan kesalahan itu di Kota Southkey, di sini, kira-kira jam 7 malam pada 2 Februari 2020.

Mohd Tamrin didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) Akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau dipenjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Kes dikendalikan Ketua Unit, Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim dan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman manakala Tamrin diwakili Muhammad Rafique Rashid Ali.

Terdahulu, Yusaini memohon mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon mahkamah menetapkan jaminan tidak lebih RM5,000 atas alasan anak guamnya adalah seorang penganggur ketika ini.

"Anak guam saya baru menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) dan perlu membuat rawatan susulan setiap bulan," katanya.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 23 Mei bagi penyerahan dokumen.

MOHD Tamrin tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menghina kerabat diraja Johor, tahun lalu. FOTO Zain Ahmed
MOHD Tamrin tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menghina kerabat diraja Johor, tahun lalu. FOTO Zain Ahmed

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 11:24 AM