Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Empat pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) termasuk suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen, Ipoh, hari ini, atas 15 pertuduhan menerima suapan serta pengubahan wang haram bernilai lebih RM1.3 juta berkaitan urusan pembekalan barangan TLDM sejak tahun lalu.

Tiga tertuduh iaitu Leftenan Komander Rizalman Ghazali, 36, dan isterinya, Leftenan Komander Rozlin Mustafa, 33, serta Leftenan Kuvendran Sukumaran, 36, mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan menerima rasuah bernilai lebih RM500,000 selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Manakala, Kapten Abdul Aziz Gaffor, 54, yang didakwa di mahkamah berasingan atas lima pertuduhan pengubahan wang haram turut membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya SPRM Nor Azah Kasran. Rizalman, Rozlin serta Kuvendran diwakili Peguam Nor Hasham Hasan manakala Abdul Aziz diwakili Collin Arvin Andrew dan Mohd Fadhli Hashim.

Kesemua kes akan disebut semula 11 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 12:20 PM