LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini.
LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini.
Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my


GANGGUAN bekalan air tidak berjadual dijangka berlaku di Klang dan Kuala Langat disebabkan paip pecah akibat kejadian tanah mendap di simpang jalan antara Jalan Johan Setia dan Jalan Langat, Klang, petang hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, kejadian tanah mendap berlaku semasa aktiviti 'boring' oleh pihak kontraktor di tapak kerja LRT 3 GS10 hingga menyebabkan kejadian paip pecah di lokasi terbabit pada 4 petang.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan beberapa kawasan di Wilayah Klang dan Wilayah Kuala Langat dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

"Bagi Wilayah Klang, kawasan terbabit adalah Bandar Bistari, Batu 5 dan 6 Sijangkang serta Jalan Johan Setia.

"Wilayah Kuala Langat pula membabitkan seluruh kawasan Sijangkang, Kampung Medan, Jalan Sijangkang Utama, Eco Sanctuary, Batu 9 Kebun Baru, Taman Perwira, Taman Seri Medan, Taman Sijangkang Jaya dan Tropicana Aman," katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam, hari ini.

Elina berkata, bantuan air melalui lori tangki ke kawasan itu digerakkan bagi membantu pengguna terjejas.

Beliau berkata, Air Selangor akan terus memaklumkan status bekalan air dari semasa ke semasa menerusi media massa dan semua medium komunikasi Air Selangor di Twitter, Facebook, Instagram, Aplikasi Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com.

Berita berkaitan

'Jalan raya mendap bentuk kawah besar [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 11:53 PM