FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Norzamira Che Noh


Shah Alam: Gangguan bekalan air di Selangor berulang lagi apabila sebanyak 36 kawasan di wilayah Shah Alam, Klang serta Petaling akan mengalami gangguan bekalan air berjadual pada Selasa hadapan.

Ia berikutan kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu berdekatan kilang Carlsberg di Persiaran Selangor Seksyen 15 yang akan dilaksanakan bermula jam 9 pagi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Elina Baseri berkata, susulan kerja-kerja berkenaan, 36 kawasan di wilayah Shah Alam / Klang serta Petaling akan mengalami gangguan bekalan air berjadual.

"Sebanyak 22 kawasan di wilayah Shah Alam, empat di wilayah Klang serta 10 di wilayah Petaling akan mengalami gangguan bekalan air.

"Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 9 pagi, 14 Januari," katanya.

Beliau berkata, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.

Jelasnya, Air Selangor menasihatkan pengguna yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.

"Pelaksanaan kerja-kerja ini akan membolehkan sistem pengagihan bekalan air sentiasa berada dalam keadaan optimum.

"Penambahbaikan infrastruktur paip ini juga adalah sebahagian usaha Air Selangor dalam meningkatkan pengalaman perkhidmatan terbaik demi keselesaan para pengguna di masa hadapan," katanya.

Elina berkata, pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com.

Katanya, pengguna juga boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 6:11 PM