GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

BEBERAPA kawasan di wilayah Kuala Langat dan Klang mengalami gangguan bekalan air berikutan insiden paip pecah ekoran kerja pengorekan berhampiran sebuah restoran di Jalan Langat, Klang, semalam.

Kawasan terjejas di wilayah Kuala Langat adalah di Batu 7 hingga Batu 9 Sijangkang; Jalan Sijangkang Utama; Taman Medan; Taman Perwira; Taman Sijangkang Jaya; Batu 9 Kebun Baru; Eco Santuary; Tropicana Aman dan sekitar Batu 9, Kg Medan.

Dua kawasan yang terjejas di wilayah Klang pula adalah Bandar Bistari serta Batu 5 dan Batu 6 di Jalan Langat.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, kerja pembaikan paip pecah tidak dapat disiapkan seperti dijadualkan pada 10 pagi ini disebabkan kedalaman paip pecah melebihi dua meter di bawah permukaan tanah.

"Ini memerlukan kerja pengukuhan ruang pembaikan terlebih dahulu serta kerja pengalihan kabel oleh syarikat utiliti lain.

"Kerja pembaikan kini sedang giat dijalankan dan dijangka siap pada 4 petang ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Air Selangor menjangka pemulihan bekalan air di kawasan terjejas pada 2 pagi esok.

"Bantuan air melalui lori tangki sedang digerakkan ke kawasan terjejas," katanya.

Air Selangor akan terus menyalurkan status terkini kepada pengguna dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang di www.airselangor.com.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 12:33 PM