PENGGANTIAN paip air mentah sedang dijalankan. FOTO Ihsan FB Air Selangor.
PENGGANTIAN paip air mentah sedang dijalankan. FOTO Ihsan FB Air Selangor.
Norzamira Che Noh


Kuala Lumpur: Kerja penggantian paip air mentah di Empangan Klang Gates yang menyebabkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Nanas dan Wangsa Maju sudah dimulakan pada 9 pagi hari ini, seperti yang dijadualkan.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Elina Baseri berkata, kerja penggantian injap ini dijangka siap pada 9 malam hari ini.

"Selepas kerja-kerja berjadual ini siap dilaksanakan, loji dan sistem agihan akan distabilkan sebelum bekalan air mula disalurkan kepada pengguna.

"Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah secara berperingkat dan berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Air Selangor akan menggerakkan sebanyak 29 lori tangki air ke kawasan yang terjejas dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis serta upacara pengebumian.

Katanya, Air Selangor turut menyediakan kemudahan pembelian air kepada pihak industri atau pelanggan komersial dengan membuat pembayaran di kaunter Khidmat Pelanggan Air Selangor.

"Pelanggan perlu menyediakan kenderaan atau lori tangki yang disewa sendiri. Pengambilan air boleh dilakukan di dua stesen pengambilan air di Jalan TPP 5/17, Taman Perindustrian Puchong 5/17 dan Stor Air Selangor Hulu Langat, Seksyen 13, Jalan P/4 Bandar Baru Bangi.

"Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut dibuka di Sebelah Padang Bola, Hospital Kuala Lumpur dan kawasan letak kenderaan My Capital, Jalan Jejawi, Bangsar bagi kemudahan pengguna membuat aduan serta berhubung terus dengan pegawai khidmat pelanggan kami," katanya.

Elina berkata, kerja penggantian berkenaan akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di 12 kawasan di wilayah Gombak dan 46 kawasan di Kuala Lumpur.

Katanya, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 5 pagi, 9 April.

Pengguna yang ingin mendapatkan maklumat semasa mengenai gangguan bekalan air berjadual ini, boleh melayari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com.

Katanya, pengguna juga boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 12:14 PM