BERGERAK secara berkumpulan mengeratkan hubungan sesama ahli.
BERGERAK secara berkumpulan mengeratkan hubungan sesama ahli.
Nurul Husna Mahmud

Peminat sukan permotoran lasak terutama pacuan empat roda sudah mengenali setiap laluan belantara yang ingin ditelusuri bagi melepaskan ‘gian’ mereka terhadap pemanduan ekstrem.

Bukan aktiviti pemanduan bersifat biasa, sebaliknya penggiat sukan ini terutama pemandu kenderaan pacuan empat roda (4x4) seharusnya sudah mahir dengan pengendalian teknikal selain perlu bergerak dalam kumpulan supaya tidak terkandas di pertengahan jalan.

Pemilik kenderaan juga menyedari betapa aktiviti ini menagih modal besar apabila perlu melakukan pengubahsuaian tertentu daripada tayar hingga aksesori bagi membolehkan mereka tiba ke destinasi dengan selamat. Mereka juga memiliki ‘walkie talkie’ bagi tujuan memudahkan perhubungan bersama kru kenderaan lain.

Dulu konvoi kenderaan 4x4 bersandarkan rekreasi semata-mata, namun kini aktivitinya lebih bermakna apabila berkesempatan menjengah golongan memerlukan termasuk masyarakat Orang Asli.

Penulis yang sudah mengenali aktiviti ini sejak 2012 bermula dengan pelawaan pertubuhan Yayasan Khalifah hinggalah kepada rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Tawfiq, mengakui sukar untuk tidak jatuh cinta dengan pengembaraan bersama kumpulan pacuan empat roda terbabit.

Masakan tidak, pemandangan hijau dan sungai yang jernih hingga boleh nampak batu dan warna dasarnya, sudah memadai untuk membuatkan kami teruja. Selain itu, kesempatan menyantuni masyarakat Orang Asli di pedalaman antara pengalaman yang cukup bermakna.

MENYEDIAKAN juadah makan malam untuk penduduk setempat.
MENYEDIAKAN juadah makan malam untuk penduduk setempat.

Menjengah masyarakat Orang Asli Kampung Dayok di Pahang yang terletak 80 kilometer dari jalan utama menjadi destinasi penulis bersama rakan 20 rakan sukarelawan yang bertandang bagi tujuan kebajikan. Daripada 14 kampung dalam gugusan Pos Lenjang, Lipis, Pahang kampung berkenaan dihuni lebih 100 keluarga terdiri daripada masyarakat Temuan.

Persiapan menyeluruh dilakukan sejak awal termasuk menyediakan perkakasan dapur hingga barangan mentah sebagai bekalan kami dan untuk menjamu orang kampung dalam jadual kali ini.

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Lipis tidak menjadi masalah kerana ia laluan jalan raya biasa hingga memasuki jalan balak sekitar jarak 80 kilometer.

Mujur jalan balak ketika itu kering namun sebaik kumpulan ekspedisi melalui jalan terbabit dengan pantas ia berdebu dan pemandangan ketika memandu sedikit tercabar.

Namun selepas 10 kilometer, laluan mulai sempit dan ada ketikanya menuruni jalan yang curam. Sebelum melewati trek sebegini pemandu kami sudah sedia menukar gear kepada kawalan pacuan empat roda membolehkan kenderaan dikawal dengan baik.

Kelajuan kenderaan masing-masing tidak lebih 40 kilometer sejam dan ada kalanya 20 kilometer sejam terutama pada laluan sempit atau menuruni bukit.

Selain jalan ladang dan kebun dalam belantara, kami turut menyeberangi tiga sungai sebelum sampai ke kawasan kampung. Sasaran kumpulan kami ialah perlu sampai sebelum lewat petang kerana khuatir arus bertukar menjadi deras disebabkan hujan.

Kumpulan konvoi ketika itu iaitu wakil dari Pertubuhan Tawfiq tiba sekitar jam 4 petang dan memerlukan kumpulan konvoi menyiapkan stesen bekerja seawal mungkin. Kali ini kumpulan dibantu orang kampung.

PELBAGAI AKTIVITI bersama penduduk kampung diadakan.
PELBAGAI AKTIVITI bersama penduduk kampung diadakan.

Mujur kampung ini memiliki dewan dan surau untuk kemudahan peserta konvoi. Kerjasama baik diberikan pihak Tok Batin Kamal apabila menerima kedatangan kami termasuk membenarkan kemudahan terbabit digunakan sebagai tapak perkhemahan peserta.

Berada di kampung yang dikelilingi pemandangan hijau ini menghilangkan keletihan kami. Kami turut berpeluang menyaksikan sendiri suasana kampung Orang Asli sebenar yang masih selesa dengan gaya hidup sangat sederhana apabila sebahagian rumah buluh masih dikekalkan.

Namun yang paling teruja ialah kanak-kanak yang berlegar-legar sekitar kawasan diduduki sukarelawan. Sebahagian sukarelawan menyiapkan juadah makan malam, sebahagian pula melakukan aktiviti beramah mesra dengan penduduk.

Surau menjadi lokasi aktiviti termasuk penyerahan sumbangan keperluan selain pakaian terpakai. Sekitar jam 8 malam, sukarelawan mula mengagihkan makanan kepada penduduk dan selesai sekitar jam 10 malam.

Keesokan harinya, kerja mengemas barang pula dilakukan selain bertemu wakil kampung bagi urusan penyerahan bantuan. Kumpulan sukarelawan bergerak sekitar jam 11 pagi melalui trek sama untuk keluar. Konvoi dua hari satu malam disifatkan pengembaraan bermakna meskipun tempohnya singkat.

MENYANTUNI masyarakat Orang Asli.
MENYANTUNI masyarakat Orang Asli.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 1:07 PM