Muhammad Adib Mohd Kassim
Muhammad Adib Mohd Kassim
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KELUARGA Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim meletakkan harapan tinggi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan seterusnya menahan mereka yang bertanggungjawab atas kematian anggota bomba itu dua tahun lalu.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan barisan peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib, kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador jelas bercanggah dengan keputusan Mahkamah Koroner.

Menurutnya, tidak adil Abdul Hamid merumuskan tiada keterangan yang dapat mengaitkan pembunuhan Muhammad Adib hanya kerana dua pegawai bomba yang bersama mangsa pada malam kejadian mengatakan mereka tidak nampak apa yang berlaku.

"Dakwaan ini sudah dijawab dalam inkues dan tindakan Abdul Hamid menimbulkan semula perkara ini menunjukkan PDRM tidak meneliti dan tidak faham kronologi kejadian kes ini berdasarkan keterangan dan bukti yang ada.

"Ketika Muhammad Adib ditarik dan diserang, dia berada dalam keadaan separa sedar akibat kecederaan disebabkan hentakan kuat yang mematahkan tulang rusuknya dan adalah mustahil untuk arwah mempertahankan dirinya ketika beliau ditarik dan diserang sekali gus menjelaskan mengapa tiada sebarang kesan kecederaan mempertahankan diri pada tubuhnya," katanya, hari ini.

Barisan peguam mewakili keluarga anggota bomba itu adalah Mohd Kamaruzaman A Wahab, Ahmad Taufiq Baharum, Syazlin Mansor, Mohd Zubir Embong, Mohd Tahuddin Abd Razak, Ahmad Lutfi Awang, Mohammed Zamri Ibrahim dan Yahaya Othman.

Katanya, perlu ditekankan bahawa Mahkamah Koroner sudah memberikan dapatan punca dan sebab kematian arwah Muhammad Adib memandangkan keputusan itu tidak pernah dicabar mana-mana pihak melalui proses rayuan atau semakan yang sah.

Tambahnya, ia seterusnya menjadi kewajipan polis untuk menjalankan siasatan bagi mencari siapakah dia 'dua atau lebih orang' yang menyebabkan kematian Muhammad Adib dan bukan mempersoalkan semula punca kematiannya lagi sama ada dibunuh atau sebaliknya.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Dia disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari menerima rawatan.

Pada 27 September tahun lalu, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib, yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan itu, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Berita berkaitan:

  • Polis cadang tubuh pasukan kajian semula
  • Tunggu arahan peguam negara
  • Panggil semula 100 saksi kes Adib: Zuraida
  • Kes Adib dibincang dengan Peguam Negara
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 3:15 PM