Peguam Negara Tommy Thomas
Peguam Negara Tommy Thomas
Sarah Zulkifli


PEGUAM Negara Tommy Thomas beritahu bahawa keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim gagal mengemukakan butiran terperinci dengan dakwaan beliau menghina mahkamah berhubung kenyataannya kepada media berkaitan inkues kematian anggota bomba berkenaan.

Peguam Kanan Persekutuan S Nakunavathy yang mewakili Tommy dalam hujahannya berkata, permohonan prosiding komital (menghina mahkamah) secara ex-parte oleh keluarga Muhammad Adib untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding itu tidak mempunyai maklumat lengkap.

“Pemohon (keluarga Muhammad Adib) tidak memberitahu mahkamah bagaimana afidavit Peguam Negara dilihat sebagai mengganggu inkues dan menghina mahkamah.

“Mereka sepatutnya memberikan maklumat yang terperinci mengenai pendirian mereka berkaitan afidavit berkenaan yang didakwa mengganggu prosiding inkues Adib,” katanya ketika prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad di Mahkamah Koroner di Shah Alam hari ini.

Terdahulu, peguam Hanif Katri Abdulla yang mewakili keluarga anggota bomba terbabit berkata, Tommy sebagai Peguam Negara tidak boleh membuat keputusan berhubung punca kematian Muhammad Adib.

“Afidavit difailkan Jabatan Peguam Negara (AGC) itu dilihat mempunyai kriteria campur tangan, pendirian yang bersifat pra-matang dan menindas Syazlian Mansor sebagai peguam bela dan peguam cara keluarga anggota bomba itu,” katanya.

Dalam prosiding sama, Rofiah turut menetapkan 27 Ogos ini sebagai tarikh sama ada boleh untuk memulakan prosiding komital terhadap Tommy.

Tarikh itu ditetapkan mahkamah selepas mendengar hujahan Haniff dan Narkunavathy.

Pada 16 Julai lalu, bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, memfailkan permohonan perintah komital kepada Tommy kerana menghina mahkamah berkaitan proses inkuiri kematian anaknya.

Permohonan sebelah pihak (ex-parte) itu dibuat melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.

Pada 3 April lalu, afidavit yang difailkan AGC disahkan oleh bekas Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah dengan menyatakan bahawa kematian Adib bukan akibat dipukul oleh mana-mana orang.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 8:28 PM