GAMBAR hiasan. FOTO arkin NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkin NSTP
BERNAMA

Kuantan: Sebanyak 120.67 hektar tanah di Mukim Tembeling dan Mukim Ulu Cheka, di Jerantut kira-kira 162 kilometer dari sini, sudah diluluskan untuk projek tanaman durian Musang King, setakat 20 Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata, projek pertanian yang diluluskan itu tertakluk kepada syarat yang perlu dipatuhi bagi tempoh sebelum, semasa dan selepas mendapat kelulusan.

"Bagi memastikan projek yang diluluskan tidak mendatangkan kesan kepada alam sekitar, pihak syarikat yang mendapat kelulusan perlu menyediakan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) seperti disyaratkan Jabatan Alam Sekitar.

"Pemantauan secara berkala juga dilaksanakan oleh agensi terbabit untuk memastikan semua syarat dipatuhi selain garis panduan bagi penanaman durian di cerun juga dikeluarkan oleh jabatan berkaitan," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Zuridan Mohd Daud (Pas-Damak) yang ingin mengetahui keluasan tanah yang diluluskan untuk projek tanaman itu di Jerantut.

Beliau juga memaklumkan, selain permohonan yang sudah diluluskan, terdapat syarikat yang membuat permohonan untuk mendapatkan kelulusan menanam durian daripada tanaman asal iaitu kelapa sawit di kawasan Ulu Cheka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 2:21 PM