ANTARA durian yang menjadi pilihan setiap kali musim raja buah itu. FOTO Mohd Rafi Mamat
ANTARA durian yang menjadi pilihan setiap kali musim raja buah itu. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang berharap peniaga durian di negeri itu tidak mengambil kesempatan dengan menjual raja buah itu dengan harga yang terlalu mahal.

Pengarahnya, Rosli Aw Da berkata, durian klon dan kampung dijual dengan harga berbeza di setiap daerah disebabkan beberapa faktor seperti kawasan pengeluaran dan permintaan.

Menurutnya, sebagai contoh harga durian di Kuantan lebih mahal berbanding di Jerantut, Bentong dan Raub yang sememangnya terkenal sebagai daerah pengeluaran utama pelbagai jenis durian.

“Penentuan harga durian adalah di luar bidang kuasa FAMA, peniaga yang bertanggungjawab sepenuhnya menetapkan harga raja buah itu mengikut jenis, kualiti serta daerah pengeluaran buah terbabit.

“Durian jenis kampung kini dijual antara RM6 hingga RM8 sekilogram (kg) manakala jenis klon seperti Musang King (D197), IOI, D24, dan Udang Merah (D175) pula dijual dengan harga dua hingga lima kali ganda dari durian kampung,” katanya ketika dihubungi dari Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, peniaga yang menjual durian pada harga yang lebih murah dan berpatutan masih mampu meraih keuntungan kerana kebanyakan mereka mendapat bekalan buah itu dari pekebun tempatan selain kebun sendiri.

Rosli berkata, pihaknya dari masa ke semasa melakukan pemantauan harga durian di beberapa daerah di Pahang sebagai rekod seterusnya menjadi rujukan apabila diperlukan.

Katanya, durian Musang King yang sebelum ini harganya begitu tinggi hingga mencecah RM60 sekilogram kini turun antara RM25 hingga RM45 mengikut gred, pengeluaran buah yang banyak menyebabkan harganya murah.

“Pengeluaran durian di Pahang kini berada di kemuncaknya dan kebanyakan penggemar raja buah itu kini tertumpu di Raub, Bentong dan Jerantut untuk memilih dan merasai sendiri keenakan buah itu terutamanya durian klon.

“Durian Musang King juga kini dieksport ke China oleh lima syarikat yang mendapatkan lesen jualan ke luar negara yang mana salah satunya beroperasi di Raub,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 11:43 AM