WARGA emas Ishak Bidin dan isterinya Sutinah Daud menyediakan durian percuma kepada pengunjung kediamannya di Kampung Dusun Kalong, Ulu Cheka. FOTO Mohd Rafi Mamat
WARGA emas Ishak Bidin dan isterinya Sutinah Daud menyediakan durian percuma kepada pengunjung kediamannya di Kampung Dusun Kalong, Ulu Cheka. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


"SAYA merasa puas apabila rezeki buah durian yang banyak diberikan Allah dapat dikongsi dengan individu lain," kata warga emas, Ishak Bidin.

Ishak, 62, berkata tahun ini adalah musim kedua dia dan isteri Sutinah Daud, 59, memutuskan untuk sedekahkan semua hasil raja buah jenis kampung kepada pelancong dan rakan yang datang menjenguknya di Kampung Dusun Kalong, Ulu Cheka, Jerantut.

Katanya, dia memiliki kebun seluas lebih dua hektar peninggalan arwah bapa mentua dan ditanam dengan pelbagai pokok buah-buahan seperti durian kampung, dokong, pulasan dan rambutan.

"Selepas bersara, saya dan isteri mengambil keputusan untuk menetap di Kampung Dusun Kalong, Ulu Cheka bagi memajukan kebun yang sebelum ini kurang diberi perhatian dan kini selepas tiga tahun banyak hasil dapat diraih.

"Saya mula menyediakan durian percuma sejak tahun lalu, mereka yang datang sambil berehat di kebun saya dihidangkan dengan raja buah itu dan mereka boleh makan sebanyak mana termampu," katanya ketika ditemui semalam.

Beliau yang juga pesara Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berkata, untuk kemudahan pengunjung, dia turut menyediakan dua inap desa, sekali gus suasana dalam kebun dapat dirasai sepenuhnya dengan udara nyaman serta segar.

WARGA emas Ishak Bidin dan isterinya Sutinah Daud menyediakan durian percuma kepada pengunjung kediamannya di Kampung Dusun Kalong, Ulu Cheka. FOTO Mohd Rafi Mamat
WARGA emas Ishak Bidin dan isterinya Sutinah Daud menyediakan durian percuma kepada pengunjung kediamannya di Kampung Dusun Kalong, Ulu Cheka. FOTO Mohd Rafi Mamat

Menurutnya, mereka yang menginap di inap desa diberi peluang mengutip durian setiap pagi sambil menjamu selera di kawasan kebun dan tepi kolam ikan air tawar.

Katanya, ketika kemuncak pengeluaran setiap hari antara 150 hingga 200 kilogram (kg) durian dikumpul dan pengunjung boleh memilih sendiri buah pokok mana diinginkan kerana kualiti raja buah jenis kampung berbeza.

"Durian tidak habis dimakan pengunjung dijadikan tempoyak setiap minggu dan permintaan terhadap produk hiliran itu begitu menggalakkan apabila dijual dengan harga RM30 sekilogram.

"Saya bersyukur setiap tahun pengeluaran durian bertambah, ini bermakna mereka yang datang ke kebun saya dan menginap di Mak Itam Tinah homestay terus berpeluang menikmati raja buah secara percuma.

"Pada musim dokong, rambutan dan pulasan saya dan isteri turut sedekahkan kepada pengunjung," katanya yang turut menyediakan hidangan kampung kepada pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 2:28 PM