MAZLAN (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan dadah jenis methamphetamine dalam bungkusan teh Cina pada sidang media di IPD Wangsa Maju, hari ini. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din.
MAZLAN (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan dadah jenis methamphetamine dalam bungkusan teh Cina pada sidang media di IPD Wangsa Maju, hari ini. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din.
Khairul Najib Asarulah Khan


BUNGKUS methamphetamine menggunakan bungkusan teh Cina. Itu taktik sindiket dari pantai timur untuk mengaburi pihak berkuasa dengan menjadi pembekal dadah kepada pengedar di sekitar Lembah Klang.

Namun tindakan mereka dipatahkan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju apabila dua lelaki ditahan dalam serbuan di kondominium di Setapak, Kuala Lumpur pada 12.05 tengah hari Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dadah itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran sebelum dibungkus dengan bungkusan teh cina di Terengganu dan dihantar ke ibu negara untuk diedarkan kepada pengedar dadah lain.

Beliau berkata, bagi mengaburi pihak berkuasa bekalan bahan larangan itu dihantar menggunakan bas atau kereta persendirian.

“Mereka dipercayai menjadikan kondominium mewah yang disewa dengan kadar RM1,700 sebulan itu sebagai markas untuk menjual dadah kepada pembekal di sekitar Lembah Klang sejak empat bulan lalu.

“Namun, kami masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti mereka yang bersekongkol dengan suspek berkenaan,” katanya pada sidang media di IPD Wangsa Maju, hari ini.

Mazlan berkata, kedua-dua suspek berusia 29 dan 34 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Akhbar Harian Metro hari ini melaporkan, polis menahan dua lelaki yang disyaki pembekal dadah selepas menemui methamphetamine seberat 38 kilogram yang dianggarkan bernilai RM1.9 juta.

Dadah itu ditemui di dalam kereta Perodua Kelisa dan Honda Jazz di kondominium berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 6:58 PM