FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Manusia, memperluas Program Saringan Prihatin (PSP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada semua pencarum di negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa esok.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, majikan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan boleh menjalankan saringan Covid-19 untuk pekerja secara percuma melalui panel perkhidmatan yang dilantik Perkeso dengan membuat janji temu saringan dan mengemukakan maklumat yang lengkap kepada panel perkhidmatan.

Katanya, hanya saringan melalui panel perkhidmatan ditanggung sepenuhnya oleh Perkeso.

"Saringan Covid-19 juga boleh dijalankan melalui kaedah Subsidi Saringan Prihatin.

"Kos saringan hendaklah dibayar oleh majikan terlebih dahulu. "Majikan boleh mengemukakan permohonan untuk Subsidi Saringan Covid-19 melalui https://psp.perkeso.gov.my dengan menyertakan resit bayaran," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Perkeso akan membuat bayaran balik subsidi sehingga RM150 bagi setiap pekerja yang sudah menjalani saringan Covid-19.

Kedua-dua kemudahan terbabit terhad untuk dijalankan melalui majikan sahaja.

Selain itu, peluasan capaian PSP Perkeso ini terbuka kepada pekerja asing dan tempatan dalam semua sektor atau industri.

"Pencarum yang pernah menjalani saringan PSP sebelum ini boleh menjalani saringan semula selaras dengan pengumuman yang telah dibuat.

"Majikan dan pekerja diingatkan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan sewaktu menjalani ujian saringan Covid-19 agar proses berjalan dengan selamat dan tidak terdedah kepada risiko jangkitan.

"Pihak Kementerian Sumber Manusia berharap kemudahan yang disediakan oleh Perkeso dapat membantu usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19 di negara ini," katanya.

Senarai Panel Perkhidmatan Perkeso boleh diperoleh dalam Direktori Panel Perkhidmatan yang dipaparkan di portal Perkeso, manakala proses saringan boleh dilakukan di klinik, makmal atau dijalankan di premis pekerjaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 2:22 PM