GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur : Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) tidak teragak- agak mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir Ahmad 'Asri berkata, selain arahan berhenti kerja terhadap tapak pembinaan, tindakan tatatertib juga boleh dikenakan yang mengakibatkan kontraktor terbabit dikenakan penalti dan pendaftaran mereka digantung atau dibatalkan.

Menurut Ahmad 'Asri, tindakan diambil mengikut Seksyen 34B(1)(c) dan Seksyen 34C(1) Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520) yang mewajibkan pihak kontraktor memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan samada semasa atau selepas pembinaan.

"Justeru, CIDB menggesa penggiat industri pembinaan untuk mematuhi arahan semasa dan SOP yang dikeluarkan oleh MKN bagi mencegah penularan kes Covid-19 di tapak pembinaan.

"Ia adalah ekoran daripada peningkatan penularan kes positif Covid-19 dekat tapak pembinaan seluruh negara, khususnya di Lembah Klang," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ahmad 'Asri berkata, CIDB juga akan mempergiatkan lagi pelaksanaan aktiviti pemeriksaan tapak pembinaan bagi mengekang penularan Covid-19.

"Setakat ini jumlah kes di tapak pembinaan telah menjangkaui 4,000 kes positif.

"Hasil siasatan CIDB dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati kenaikan mendadak kes Covid-19 di tapak pembinaan berpunca daripada kontak rapat dengan kluster sedia ada dan kes jangkitan akibat pekerja binaan di bawah sub-kontraktor berpindah dari satu tapak pembinaan kepada tapak yang lain.

"Selain itu, penularan wabak juga didapati berpunca di penempatan pekerja yang padat, tidak mengamalkan penjarakan sosial dan keadaan tempat penginapan yang tidak bersih.

"CIDB memandang berat situasi ini kerana ia satu perkara yang amat membimbangkan dan memohon semua kontraktor mengambil tanggungjawab untuk memastikan tapak pembinaan dan penempatan pekerja mereka mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) .

"Antaranya adalah memastikan semua pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 dan disahkan bebas dari jangkitan," katanya.

Katanya, penguatkuasa CIDB menjalankan sebanyak 13,977 pemeriksaan yang membabitkan 7,996 tapak pembinaan di seluruh negara sejak 20 April sehingga 17 Disember lalu.

Daripada jumlah tersebut, 7,840 bersamaan 98 peratus tapak pembinaan sudah mula beroperasi, manakala 158 lagi (2 peratus) tidak beroperasi.

Manakala, daripada jumlah tapak yang sudah beroperasi, sebanyak 7,522 iaitu 96 peratus didapati mematuhi SOP dan 318 lagi (4 peratus) gagal berbuat demikian.

"Kes positif Covid-19 dilihat meningkat berikutan arahan oleh MKN baru-baru ini untuk mewajibkan kesemua pekerja warga asing di dalam sektor pembinaan di negeri PKPB menjalani ujian RTK Antigen.

"Dengan pengesanan ini, kes positif dan kontak rapat mereka boleh diasingkan bagi mengelakkan penularan wabak tersebut.

"Selain mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN, kontraktor juga digesa mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) dalam menyediakan tempat tinggal dan kemudahan kepada pekerja.

"Pematuhan SOP bukan sahaja penting untuk mencegah penularan wabak Covid-19, malah turut dapat mengelakkan kerugian kepada kontraktor dan juga klien untuk jangka masa panjang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 1:04 PM