ANGGOTA Bomba dan Penyelamat bertungkus lumus memadamkan kebakaran yang memusnahkan tiga buah rumah penduduk di Perkampungan Sungai Isap 2 petang tadi. FOTO BERNAMA
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat bertungkus lumus memadamkan kebakaran yang memusnahkan tiga buah rumah penduduk di Perkampungan Sungai Isap 2 petang tadi. FOTO BERNAMA
Shahrul Nizam Mohamad


“SAYA nampak asap hitam tebal dan menyangka ada orang bakar tayar sebelum suami meluru ke arah saya sambil menjerit rumah terbakar," kata peniaga, Wan Nor Azlin Wan Hamid, 54, mangsa kebakaran membabitkan tiga rumah di Perkampungan Sungai Isap 2, Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, semua mangsa dilaporkan tinggal sehelai sepinggang selepas gagal menyelamatkan harta-benda.

Menceritakan kejadian, Wan Nor Azlin berkata, dia bersama suami, Baharuddin Sulaiman, 51, berniaga di warung sebelum Baharuddin pulang ke rumah untuk mengambil air, namun bergegas semula ke warungnya memaklumkan rumah mereka terbakar.

Katanya, menitiskan air mata selepas tidak sempat menyelamatkan dokumen penting dan harta-benda, malah suaminya turut melecur di tangan kiri akibat disambar api ketika cuba mengalihkan meja yang berada di beranda rumah.

"Sudah lebih 10 tahun kami tinggal di sini , saya tidak dapat memastikan jumlah kerugian sebenar dan reda dengan

ujian Allah SWT selain bersyukur suami tidak mengalami kecederaan serius," katanya ketika ditemui.

Seorang lagi mangsa Siti Rohana Wan Ahmad, 41, berkata ketika kejadian dia menonton televisyen di ruang tamu, namun terhidu bau hangit dari biliknya lalu bergegas

melakukan pemeriksaan.

"Saya terkejut melihat api sedang merebak dengan pantas.

"Saya menjerit dan mengarahkan anak bongsu berusia lima tahun keluar dari bilik untuk menyelamatkan diri, lalu ke rumah jiran meminta bantuan.

"Saya tidak sangka api yang bermula di rumah saya itu merebak pantas sekali gus memusnahkan dua lagi rumah jiran," katanya turut cedera di tangan kiri.

Siti Rohana berkata, ketika kejadian suaminya, Samhari Abdullah, 51, tiada di rumah kerana bekerja.

Katanya, kejadian itu berlaku begitu pantas menyebabkannya tidak terfikir untuk menyelamatkan harta-benda kerana mahu menyelamatkan nyawa tiga anaknya berusia lima hingga 22 tahun.

Ketua Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan Asrul Riezal Asbar berkata, seramai 31 anggota dan enam pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat

Kuantan dan Indera Mahkota bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.

"Tiga jentera dan dua tangki dari Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota bersama sebuah ambulans EMRS digunakan dalam operasi memadamkan kebakaran itu," katanya ketika ditemui selepas operasi memadamkan api tamat sepenuhnya 5.40 petang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca dari sebuah bilik di rumah Siti Rohana lalu merebak sekali gus memusnahkan dua rumah jirannya.

Katanya, Unit Forensik Kebakaran sudah berada di tempat kejadian untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar.

Menurutnya, pihaknya juga sudah mengambil keterangan semua mangsa untuk siasatan lanjut berhubung kejadian.

Sementara itu, Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah meluangkan masa kira-kira 15 minit melawat semua mangsa dan menyampaikan sumbangan peribadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 9:54 PM