Saadon (kiri) melihat luka salah seorang mangsa, Muhamad Aidil Mat Razali semasa melawat tiga mangsa kebakaran di Hospital Seberang Jaya. FOTO Rosli Ahmad
Saadon (kiri) melihat luka salah seorang mangsa, Muhamad Aidil Mat Razali semasa melawat tiga mangsa kebakaran di Hospital Seberang Jaya. FOTO Rosli Ahmad
Nur Izzati Mohamad


SEORANG anggota bomba sanggup menggadai nyawanya bagi menyelamatkan seorang mangsa yang terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah di Flat Taman Desa Cemara, Perai, Butterworth, semalam.

Menceritakan detik mencemaskan itu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Perai Suhaiman Abdul Jamal, 33, berkata, dia mendengar jeritan mangsa berusia 23 tahun dari sebuah bilik yang meminta pertolongan.

Sebelum itu, dua rakan mangsa berusia 19 dan 30 tahun berjaya menyelamatkan diri namun mereka melecur di beberapa bahagian badan selepas disambar api.

Menurutnya, mangsa cuba menyelamatkan diri untuk keluar dari rumah berkenaan namun gagal berikutan api merebak di ruang tamu.

“Berikutan panik, mangsa masuk ke dalam biliknya dan mengunci pintu serta membuka tingkap sebelum menjerit meminta pertolongan.

“Melihat keadaan itu, saya yang ditugaskan ke operasi berkenaan memakai kelengkapan penyelamat dan topeng oksigen lalu terus masuk ke dalam rumah bagi menyelamatkan mangsa dengan dibantu beberapa anggota lain,” katanya.

Suhaiman berkata demikian ketika menziarahi tiga mangsa kebakaran berkenaan bersama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Saadon Moktar di Hospital Seberang Jaya, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.20 malam itu, tiga penghuni sebuah rumah dilaporkan terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan hampir 50 peratus kediaman berkenaan.

Ketiga-tiga mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi HSJ berikutan melecur hampir 30 peratus.

Sementara itu, Saadon berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan.

“Kita percaya kebakaran bermula di ruang tamu sebelum merebak ke tempat lain dan siasatan untuk mengenal pasti puncanya masih dijalankan,” katanya.

Difahamkan, terdapat tujuh penghuni tinggal di unit itu dan mereka bekerja di sebuah restoran makanan segera dekat sini.

Ketika kebakaran, empat penghuni berkenaan tiada di rumah.

Kerja-kerja pemadaman api kemudian dilakukan dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.35 malam.

Operasi tamat sepenuhnya jam 8.51 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 6:07 PM