GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Roselan Ab Malek


SEORANG lelaki dan seorang wanita ditahan selepas disyaki terbabit dalam pengedaran dadah jenis syabu dan heroin di sekitar Maran, pada 27 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Ab Rahman berkata, dalam kejadian 3 pagi itu, polis menahan seorang lelaki dan perempuan di pondok dalam ladang kelapa sawit di Kampung Jengka Batu 13, Chenor.

"Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Maran merampas dadah disyaki heroin seberat 286.48 gram (g) dan syabu seberat 58.82g.

"Turut dirampas dua telefon bimbit, wang tunai RM235 dan satu kotak berpenutup digunakan suspek untuk menyimpan dadah.

"Jumlah keseluruhan rampasan dadah dan rampasan lain sebanyak RM20,441," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, hari ini.

Beliau berkata, kedua-kedua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 8:40 PM