SYABU ditemui dalam kawasan hutan. FOTO FB Polis Johor.
SYABU ditemui dalam kawasan hutan. FOTO FB Polis Johor.
Mohd Sabran Md Sani


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor merampas dadah jenis syabu seberat 1.77 kilogram bernilai RM140,000 di kawasan hutan berhampiran Pantai Sungai Tengah, Pengerang, Kota Tinggi petang semalam.

Kejayaan itu dikongsi menerusi laman Facebook (FB) Polis Johor yang turut menunjukkan gambar rampasan syabu terbabit.

Polis negeri ini pada kenyataan di FB berkongsi kejayaan penemuan enam bungkus syabu disimpan dalam beg galas.

“Semua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar untuk siasatan lanjut,” katanya.

Polis negeri turut mengucapkan tahniah kepada PPM Wilayah Dua atas rampasan dadah terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 2:39 PM