Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Mazlan Hasaan (dua kiri) menunjukkan dadah yang dirampas. - Foto FARIZUL HAFIZ AWANG
Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Mazlan Hasaan (dua kiri) menunjukkan dadah yang dirampas. - Foto FARIZUL HAFIZ AWANG
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Maran: Polis menahan enam lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM54,800 dalam dua serbuan berasingan pada 8 dan 11 Mac lalu, di daerah ini.

Suspek yang berusia antara 19 hingga 42 tahun itu ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah Maran selepas risikan dilakukan sejak dua minggu.

Ketua Polis daerah Maran Deputi Superintendan Mazlan Hasaan berkata, dalam serbuan pertama pada 11.15 malam, 8 Mac lalu, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan dalam sebuah kereta di berhampiran Plaza Tol Chenor.

Katanya, suspek bertindak agresif sebaik menyedari kehadiran polis dan berlaku sedikit pergelutan sebelum berjaya ditahan.

“Pemeriksaan dalam kenderaan suspek menjumpai kira-kira 1.8 kilogram heroin, syabu (100.73 gram) dan pil Erimin 5 (27.82 gram) bernilai RM45,000.

“Suspek kini direman sehingga 15 Mac untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam serbuan kedua pada 5.30 pagi, 11 Mac lalu, lima lelaki ditahan di sebuah rumah di Ladang Sungai Jerik dan polis merampas 57.75g syabu, heroin (44.93g), ganja (2.94g) dan erimin 5 (5g).

“Kesemua dadah berkenaan bernilai RM9,800 dan lima lelaki itu direman bermula 11 Mac hingga 16 Mac ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Siasatan awal mendapati suspek bagi kedua-dua kes yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, tiada kaitan dan mereka dipercayai baru memulakan aktiviti berkenaan sejak awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 12:15 PM