DATUK Abd Jalil Hassan (tengah) menunjukan rampasan dadah pada sidang media. FOTO ASROL AWANG
DATUK Abd Jalil Hassan (tengah) menunjukan rampasan dadah pada sidang media. FOTO ASROL AWANG
Asrol Awang


DUA lelaki ditahan, masing-masing di Maran, Pahang dan Batu Caves, Selangor kerana terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah, Sabtu lalu.

Kedua-dua suspek berusia 30 tahun dan 29 tahun itu ditahan dalam operasi khas oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Pahang dengan nilai rampasan dadah dan sitaan harta dan wang tunai berjumlah RM470,979.

Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan berkata, bertindak atas maklumat, suspek berumur 30 tahun ditahan di hadapan sebuah rumah di Maran dengan merampas dadah disyaki jenis syabu seberat 2,970.44 gram dan 4,521.84 gram heroin pada jam 11.30 pagi.

Katanya, siasatan lanjut ke atas suspek berjaya menahan seorang lagi suspek di tepi jalan Sri Gombak, Batu Caves pada jam 2.30 petang hari yang sama.

"Susulan tangkapan itu membawa polis ke sebuah rumah di Taman Sejahtera, Sentul, Kuala Lumpur dan hasil pemeriksaan itu merampas dadah jenis syabu seberat 1.4 kilogram dan 1,800 pil erimin 5 seberat 460 gram serta wang tunai RM5,400.

"Bagi mengaburi kegiatan terbabit, suspek mengisi dadah terbabit ke dalam bungkusan teh cina.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspeknegatif tetapi seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

"Kedua-dua suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah Selama enam hari bermula 19 Julai hingga 24 Julai ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

"Nilai rampasan dadah jenis syabu, heroin dan erimin 5 berjumlah RM238,000 manakala nilai sitaan harta dan wang tunai berjumlah RM232,979," katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen Pahang, hari ini.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan dadah itu boleh membekalkan kepada 19,500 penagih.

Katanya, siasatan juga mendapati sindiket itu bergiat aktifdalam kegiatan pengedaran dadah jenis syabu dan heroin di sekitar Maran sejak tiga bulan lalu.

"Dengan tangkapan ini, polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi warganegara tempatan," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 5:05 PM