DATUK Kamarudin Md Nor (kiri) mengadakan perbincangan bersama Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Idris (kanan) ketika ditemui di Ibu Pejabat KADA, Lundang, di sini, hari ini. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
DATUK Kamarudin Md Nor (kiri) mengadakan perbincangan bersama Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Idris (kanan) ketika ditemui di Ibu Pejabat KADA, Lundang, di sini, hari ini. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


PENGERUSI baharu Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Kamarudin Md Nor meneruskan misi untuk meningkatkan pengeluaran hasil padi di Kelantan.

Beliau berkata, walaupun KADA terbabit dalam pelbagai kegiatan pertanian, namun fokus utama adalah meningkatkan hasil padi dengan membantu pesawah khususnya dalam memastikan bekalan air sentiasa mencukupi.

"Di Kelantan keluasan tanaman padi di bawah KADA adalah seluas 26,833 hektar membabitkan seramai 7,722 pesawah dan padi yang dihasilkan melebihi keperluan untuk rakyat di negeri ini.

"Lebihan pengeluaran padi ini diberikan kepada negara dan kita hanya menyumbang sebanyak 9.5 peratus sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Taklimat Pengerusi KADA yang baharu di Ibu Pejabat KADA, Lundang di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Idris.

Kamarudin berkata, pihaknya memahami kekangan yang dihadapi oleh pesawah dari segi bekalan air untuk disalirkan ke petak sawah.

Menurutnya, ini kerana pesawah di Kelantan menanam padi basah yang memerlukan bekalan air mencukupi pada masa tertentu dan ia ditanam dua musim setahun.

"Masalah bekalan air yang dihadapi oleh pesawah sebahagian besarnya adalah berpunca daripada Sungai Kelantan yang menjadi cetek ketika musim kemarau sekali gus menyukarkan air untuk dipam.

"Pada musim tertentu seperti hujan lebat, ia tidak mempunyai simpanan di hulu sebaliknya semua tadahan air hujan mengalir ke sungai disebabkan hutan sudah digondol.

"Justeru, kami perlu mencari jalan bagi memastikan sama ada bekalan air mencukupi pada musim kemarau dan apabila tiba musim banjir, lebihan air di petak sawah padi dapat dipam keluar.

"Insya-Allah dengan pihak pengurusan yang ada sekarang selain pengalaman mereka, saya yakin dalam tempoh lima tahun, kami dapat mencari jalan bagi menyelesaikan masalah ini," katanya.

Katanya, sejak 1972 sehingga kini, tanaman padi di kawasan seluas 10,000 hektar di negeri ini merosot kerana aktiviti pembangunan sama ada membina jalan raya, rumah atau pusat bandar.

"Bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi, pihak kami perlu mencari kawasan baharu untuk memperluaskan tanaman padi dan perkara ini sedang dipertimbangkan selain memerlukan persetujuan daripada kerajaan pusat dan negeri.

"Kami berharap kerajaan pusat dan negeri dapat membantu dalam usaha untuk menambah kawasan tanaman padi supaya hasil tanaman dapat ditingkatkan dan kita menjadi pengeluar padi bagi negara bukan di Kelantan sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 4:31 PM