Sebahagian pesawah menunjukkan tanah padi seluas 200 hektar yang diusahakan mereka rosak akibat ketiadaan air berikutan musim kemarau. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Sebahagian pesawah menunjukkan tanah padi seluas 200 hektar yang diusahakan mereka rosak akibat ketiadaan air berikutan musim kemarau. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Seramai 2,630 pesawah di Kelantan terjejas akibat musim kemarau yang melanda negeri itu, kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Muhammad Husin

Beliau berkata, tiga kawasan yang terjejas teruk adalah Pejabat KADA Jajahan (PKJ) iaitu PKJ Kota Bharu Utara, Kota Bharu Selatan dan Bachok serta selain sebahagian kecil di PKJ Tumpat, Pasir Mas dan Pasir Puteh.

"Untuk pesawah yang terjejas, mereka terpaksa mendapatkan bekalan air menggunakan sumber air dari telaga tiub di bendang terutama bagi kawasan yang tidak mempunyai sumber air alternatif.

"Selain itu, pihak KADA juga memasang beberapa pam sokongan di kawasan sungai yang berhampiran," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, media melaporkan lebih 50 pesawah membabitkan tanah padi seluas lebih 200 hektar di Kampung Aur Duri, di sini, buntu apabila sebahagian besar sawah padi yang diusahakan mereka rosak akibat ketiadaan air berikutan musim kemarau.

Mereka mendakwa, sebahagian besar padi yang diusahakan mereka Disember lalu itu mulai rosak sejak dua minggu lalu, manakala sebahagian lagi hanya mampu bertahan seminggu sahaja.

Lebih malang, impian pesawah berkenaan yang mahu mengaut keuntungan juga tidak kesampaian, sebaliknya berdepan kerugian puluhan ribu ringgit setiap seorang.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata, antara usaha jangka pendek KADA adalah menyediakan sejumlah peruntukan bagi pembinaan telaga tiub.

Selain itu katanya, KADA juga membekalkan backward pump, pam mudah alih dan bantuan diesel bagi kegunaan petani di kawasan yang terbabit dengan bencana kemarau.

"Pembinaan pam sokongan di kawasan yang mempunyai sumber air juga sudah dibuat oleh pihak KADA," katanya.

Sementara itu ketika ditanya sama ada hasil padi akan terjejas susulan musim kemarau yang melanda, Muhammad mengakui perkara berkenaan.

"Cuaca panas yang berpanjangan sememangnya akan mengganggu pengeluaran hasil padi.

"Ini kerana air yang berkurangan menyebabkan pengeluaran hasil menurun. Purata hasil padi di KADA bagi musim utama adalah di antara 4.5 tan bagi setiap hektar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 2:09 PM