Bachok: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) menyifatkan penanaman padi musim ketiga tahun ini yang bermula bulan ini paling mencabar berikutan musim kemarau.

Pengurus Besarnya, Mohd Faizul Mustafa berkata, ia berbeza dengan musim lain yang kebanyakannya berdepan kemarau di pertengahan atau di hujung musim sahaja.

"Namun kali ini, untuk permulaan tanaman pun kita sudah berdepan cabaran besar dengan musim kemarau. Tanaman padi yang bermula bulan ini dijangka akan memperoleh hasil pada September nanti.

"Sekiranya tidak diambil langkah segera, hasil padi akan terus menyusut berbanding musim kedua," katanya ditemui di sini.

Mengulas lanjut, katanya, cabaran utama ketika musim kemarau adalah bekalan air dan ketika ini, ada kawasan padi begitu kering malah tiada air dalam tanah.

Justeru, katanya, Kada perlu mengambil langkah proaktif bagi berdepan masalah yang bakal dihadapi termasuk mencari sumber air berdekatan untuk disalurkan ke kawasan sawah.

"Memandangkan Bachok dan Pasir Puteh yang paling terkesan dengan masalah bekalan air, kita akan memberi tumpuan lebih di dua daerah ini bagi memastikan hasil padi meningkat pada musim ini.

"Pada masa sama, Kada akan memohon peruntukan tambahan RM500,000 bagi membina telaga tiub di semua kawasan yang berdepan masalah air.

MOHD Faizul (kiri) melihat pam mini mudah alih yang dibekalkan oleh KADA mampu menangani isu tanaman padi pada musim kemarau membabitkan proses penggiliran air bagi mengairi sawah supaya ianya berjalan lancar ketika ditemui di kawasan padi di Kampung Belukar. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHD Faizul (kiri) melihat pam mini mudah alih yang dibekalkan oleh KADA mampu menangani isu tanaman padi pada musim kemarau membabitkan proses penggiliran air bagi mengairi sawah supaya ianya berjalan lancar ketika ditemui di kawasan padi di Kampung Belukar. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Untuk tempoh empat bulan pertama tahun ini, kita sudah membelanjakan RM300,000 bagi membina telaga tiub. Kita juga akan bekalkan pam mini mudah alih," katanya.

Kata beliau, dengan tindakan yang diambil susulan sudah menjangkakan masalah yang akan dihadapi itu, Kada yakin mampu menangani isu tanaman padi pada musim kemarau.

"Selain Kada, kita juga meminta petani memberi kerjasama penuh terutama membabitkan proses penggiliran air bagi mengairi sawah supaya ia berjalan lancar," katanya.

Media semalam melaporkan, Kada merekodkan kerugian lebih RM2.7 juta apabila hampir 30 peratus hasil padi merosot akibat musim kemarau.

Antara daerah yang terjejas adalah Pasir Puteh, Tumpat, Kota Bharu Selaran, Bachok, Pasir Mas dan Kota Bharu Utara.

Kerugian itu membabitkan 1,123 petani dengan jumlah keluasan padi yang terjejas seluas 7,800 hektar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 2:40 PM