Mohamed Farid Noh

BEBERAPA projek mega yang diluluskan sebelum ini dan tidak memerlukan bajet tambahan akan diteruskan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, pelaksanaan projek mega itu bukan saja memberi peluang pekerjaan kepada rakyat malah dapat menjana semula ekonomi negara yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19.

"Satu daripada strategi untuk menyediakan peluang ekonomi yang lebih banyak adalah meneruskan projek mega atau raksasa yang sudah diputuskan dahulu namun tidak membabitkan pertambahan peruntukan.

"Contohnya projek Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang membabitkan perbelanjaan RM40 bilion dan ada lagi beberapa projek yang diluluskan dahulu dan tidak memerlukan perbelanjaan baharu, tidak akan dihentikan.

"Ia termasuk Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang kita tetapkan satu daripada perhentiannya di kawasan Hub Pendidikan Pagoh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pada sesi dialog bersama Pemimpin Masyarakat Parlimen Pagoh, di Dewan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh, hari ini.

MUHYIDDIN berucap, pada Majlis Perjumpaan Khas bersama Kepimpinan Masyarakat Dalam Kawasan Parlimen Pagoh, di Dewan IKTBN Pagoh. FOTO Mohd Azren Jamaludin
MUHYIDDIN berucap, pada Majlis Perjumpaan Khas bersama Kepimpinan Masyarakat Dalam Kawasan Parlimen Pagoh, di Dewan IKTBN Pagoh. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Pada 30 Mei lalu, Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, Malaysia dan Singapura bersetuju menyambung semula perbincangan mengenai projek infrastruktur HSR dalam masa terdekat.

Beliau dilaporkan berkata, keputusan itu dicapai selepas kedua-dua belah pihak bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan keputusan mengenai projek berkenaan sehingga 31 Disember 2020.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan dilaporkan berkata, Malaysia meminta melanjutkan penangguhan cadangan kereta api laju KL-Singapura susulan tempoh akhir 31 Mei 2020.

Ia bagi membuat keputusan sama ada untuk melaksanakan projek berkenaan atau sebaliknya.

Terdahulu, pada September 2018, Malaysia dan Singapura memeterai perjanjian untuk menggantung secara rasmi kerja pembinaan rel sepanjang 350 kilometer itu sehingga Mei 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 8:17 PM