Fahmy A Rosli

Kuala Lumpur: Berlaku kekecohan di Dewan Rakyat hari ini ketika sesi perbahasan pertama usul Belanjawan 2023 selepas Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur sangkaan jahat terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh).

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang antaranya Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) Datuk Awang Hashim (PN-Pendang), Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) dan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) bangun kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan dilontarkan Ahli Parlimen kerajaan itu.

Terdahulu Poay Tiong memulakan perbahasan pertama usul Belanjawan 2023 dengan menyentuh beberapa projek kontroversi seperti projek Jana Wibawa dan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

Kemudian Ahli Parlimen pembangkang mendakwa kenyataan Poay Tiong itu seperti sudah menjatuhkan 'kesalahan' kepada menantu Muhyiddin yang dikatakan terbabit dengan projek NIIse.

"Saya ada empat point (perkara) yang pertama adalah berkaitan dengan pendanaan politik dan korupsi dalam ucapan perdana menteri dan menteri kewangan...dalam ucapan bajetnya menekankan keperluan untuk kita banteras rasuah dan ketirisan.

"Kita lihat dalam masa tiga bulan yang lepas, skandal demi skandal dibongkar antaranya kita boleh lihat projek Jana Wibawa (membabitkan) RM7 bilion, projek tebatan banjir RM7 bilion juga, Sistem Bersepadu Nasional melibatkan RM1 bilion diberi kepada anak menantu.

"Semuanya kes telah dibongkar. Kita semua tahu ini adalah untuk tujuan politik," kata Poay Tiong.

Kemudian Hamzah lantas bangun mencelah dengan menggesa Ahli Parlimen Kota Melaka itu mengulangi semula kenyataannya supaya tindakan undang-undang dapat diambil.

"Yang Berhormat, saya nak dengar semula tentang projek yang tadi. Saya dengar menantu. Saya nak supaya Yang Berhormat ulang semula supaya kita boleh ambil tindakan terhadap Yang Berhormat," tegas ketua pembangkang itu.

Gesaan kepada Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong, turut dilontarkan oleh beberapa Ahli Parlimen pembangkang supaya mengarahkan Poay Tiong menarik semula kenyataan, meskipun beberapa kali dilihat 'liat' berbuat demikian kerana bertegas mahu memberi penjelasan.

Susulan itu, gesaan demi gesaan dibuat sehingga lebih ramai Ahli Parlimen pembangkang bingkas bangun mendesak Poay Tiong menarik semula kenyataan, termasuk mahu beliau dihalau keluar dari Dewan Rakyat.

"Disebut (Ahli Parlimen) Pagoh. Mengikut Peraturan 36(6) seseorang ahli tidak dibenarkan mengeluarkan sangkaan jahat. Yang disebut (Poay Ting) adalah Pagoh secara individu. Saya minta tarik balik atau minta maaf. Kalau berani tuduh di luar...kita berjumpa di mahkamah," desak Ahli Parlimen Pendang.

Poay Tiong membalasnya dengan meminta Ahli Parlimen pembangkang supaya memeriksa kembali hansard yang mana beliau pernah mengeluarkan kenyataan di Dewan Rakyat pada minggu lalu.

Berikutan desakan demi desakan oleh Ahli Parlimen pembangkang, Timbalan Speaker mengarahkan Ahli Parlimen Kota Melaka itu supaya menarik balik kenyataan yang dibuat.

"Yang Berhormat Kota Melaka, memandangkan Peraturan-Peraturan Mesyuarat 36(6) seseorang ahli tidak boleh memulakan sangkaan jahat ke atas siapa ahli yang lain...jadi saya minta Yang Berhormat Kota Melaka tarik balik (kenyataan terhadap) Yang Berhormat Pagoh.

"Kota Melaka boleh sebut mana-mana pihak tetapi jangan sebut YB (Yang Berhormat) Pagoh sahaja," katanya.

Akur dengan arahan Timbalan Speaker, Poay Tiong akhirnya menarik kenyataan yang dibuat terhadap Muhyiddin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 2:16 PM