DR Zulkifli (dua kanan) berbual dengan Siti Zawiyah (tiga kanan) penerima bantuan rumah selepas hadir di majlis Taklimat Pembangunan Hartanah Wakaf Di Pulau Pinang dan Majlis Penyerahan Bantuan Musa’adah COVID 19 di Pangsapuri Wakaf An-Nur, Teluk Air Tawar. FOTO Danial Saad
DR Zulkifli (dua kanan) berbual dengan Siti Zawiyah (tiga kanan) penerima bantuan rumah selepas hadir di majlis Taklimat Pembangunan Hartanah Wakaf Di Pulau Pinang dan Majlis Penyerahan Bantuan Musa’adah COVID 19 di Pangsapuri Wakaf An-Nur, Teluk Air Tawar. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad

SELEPAS sembilan tahun menunggu akhirnya empat beranak yang dahulunya menetap di tanah wakaf Abdul Cauder, Jalan Mengkuang kini menghuni rumah lebih selesa di Pangsapuri Wakaf An Nur di Teluk Air Tawar, Butterworth.

Siti Zawiyah Din, 56, berkata dia bersyukur tindakannya yang mematuhi segala peraturan dan undang-undang membawa rezeki penuh bermakna dalam kehidupannya sekeluarga.

Menurutnya, rumah yang didiaminya dahulu perlu dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembangunan tanah wakaf dan dia dijanjikan sebuah unit perumahan bagi menggantikan kediamannya.

"Sembilan tahun lalu ketika ada orang datang memberitahu rumah saya perlu dirobohkan, memang saya akur dan patuh pada saranan mereka.

"Ketika itu saya dijanjikan sebuah unit perumahan sebagai ganti dan diberikan wang pampasan untuk mencari rumah sewa sebelum rumah ini disiapkan.

"Akhirnya, siapa sangka saya dapat tinggal di rumah sangat selesa berbanding dahulu, malah banyak kemudahan disediakan," katanya.

Ibu kepada dua anak berusia 15 dan 30 tahun itu, berkata lokasi rumah ini strategik dan terbaik untuk kehidupan mereka.

Katanya, dia juga adalah penghuni pertama yang diberikan kunci oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk mendiami pangsapuri berkenaan sejak Februari lalu.

Pangsapuri Wakaf An Nur yang siap dibina pada Januari lalu terdiri dua blok bangunan mempunyai 152 unit dengan peruntukan kerajaan pusat berjumlah RM54 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 8:03 PM