DATUK Seri Dr Wee Ka Siong ketika sidang media di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DATUK Seri Dr Wee Ka Siong ketika sidang media di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Amir Abd Hamid


KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) akan membawa memorandum untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 berkaitan pemanduan di bawah pengaruh alkohol, dadah atau memandu secara melulu (DUI) ke mesyuarat Kabinet minggu depan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pihaknya komited mengenakan hukuman lebih berat terhadap pemanduan DUI supaya tragedi disebabkan pelakuan itu tidak berlaku lagi atau sekurang-kurangnya dapat dicegah secara drastik.

Memetik kejadian terbaru, tiga beranak maut apabila kereta dinaiki bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Kilometer (KM) 74, Jalan Ipoh-Gerik, berdekatan Kampung Kuak, Sauk, Kuala Kangsar, malam kelmarin, beliau menegaskan supaya perlu ada tindakan segera.

Dalam kejadian pada 10.30 malam, mangsa, Nurul Huda Arifin, 31, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan kereta Toyota Vios maut di tempat kejadian.

Sementara itu, pemandu kereta berkenaan, Abdul Hakim Hashim, 32, serta kanak-kanak yang berada di tempat duduk belakang, Adib Aidan Abdul Hakim, 2, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Kangsar.

"Tragedi kemalangan jalan raya akibat DUI seperti apa yang menimpa Nurul Huda ini mengundang kesedihan yang amat memilukan kepada keluarga mangsa.

"Berita sebegini menguatkan lagi tekad untuk memerangi pemanduan di bawah pengaruh alkohol, dadah dan pemanduan secara merbahaya.

"Cukup-cukuplah. Saya akan membawa memorandum kepada Kabinet untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemanduan DUI pada minggu depan," katanya.

Wee berkata demikian dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook (FB) miliknya hari ini.

Beliau berkata, pindaan akta dengan memasukkan hukuman lebih berat diharapkan sekurang-kurangnya dapat mencegah pemanduan DUI sekali gus mengelakkan tragedi sama berulang.

"Kami sememangnya komited untuk mengenakan hukuman yang lebih berat supaya tiada lagi berani memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah atau memandu secara merbahaya.

"Fikirkan tentang diri sendiri dan orang lain sebelum memandu. Demi masyarakat kita, janganlah memandu dalam keadaan mabuk atau di bawah pengaruh dadah atau memandu secara merbahaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 3:28 PM