GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

AHLI perniagaan Australia dijatuhi hukuman denda RM5,000 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol, buat kali kedua.

Majistret Puteri Nursheila Rahimi turut mengarahkan lesen memandu Benjamin Simon Casha, 47, digantung selama dua tahun.

Simon didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol, dengan bacaan 96mg dalam 100ml darah, yang melepasi paras yang dibenarkan 80mg dalam 100ml darah; di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur pada 11.15 malam, 15 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM6,000 dan boleh dipenjara sehingga 12 bulan.

Pegawai Pendakwa Inspektor Abdullah Khazali menggesa mahkamah mengenakan hukuman keras memandangkan ia adalah kesalahan buat kali kedua.

Manakala Simon yang tidak diwakili peguam, memohon maaf dan merayu denda minimum.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 5:29 PM