MOHD Sharim (tengah) selepas selesai proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Paloh Hinai, Pekan. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
MOHD Sharim (tengah) selepas selesai proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Paloh Hinai, Pekan. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Asrol Awang


BARISAN Nasional (BN) akan memastikan calonnya, Mohd Shahrim Md Zain memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Chini dengan meraih majoriti besar.

Sehubungan itu, Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, BN sudah bersiap sedia terutama jentera parti akan terus digerakkan demi memastikan Mohd Sharim yang juga anak peneroka dalam kalangan generasi kedua Felda beroleh kemenangan.

Katanya, beliau menyambut baik penyertaan dua calon Bebas yang menentang calon BN pada PRK Dun Chini.

"Sungguhpun saya berharap tiada pertandingan memandangkan negara dan negeri masih dibelenggu wabak Covid-19, namun itu tidak menjadi kenyataan.

"Oleh itu, jentera BN yang sentiasa bersiap-siaga akan terus digerakkan demi memastikan Mohd Sharim menang pada PRK ini dengan majoriti besar.

"Saya ingin mengingatkan calon Bebas atau pihak yang menyokong mereka agar mengamalkan kempen secara sihat khususnya tidak melakukan perbuatan keji seperti membuat tohmahan dan fitnah memfitnah.

"Sambil itu berharap, calon dan penyokong dapat sentiasa akur kepada segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan agar wabak pandemik Covid-19 tidak menular lebih meluas semasa dan selepas PRK Dun Chini ini, Na'uzubillah," katanya dalam satu kenyataan media di Pekan, hari ini.

PRK Dun Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN dan dua calon Bebas.

BN mempertaruhkan generasi kedua Felda Chini, Mohd Shahrim, 41, yang juga Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan bagi mempertahankan kerusi Dun itu kekal milik BN.

Dua calon Bebas pula adalah Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pekan, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64 dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, yang juga aktivis masyarakat.

Berita berkaitan:

  • Lagi berita berkaitan PRK DUN Chini
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 1:21 PM