Bendera Barisan Nasional (BN) mula memenuhi kawasan Bandar Dara Chini.
Bendera Barisan Nasional (BN) mula memenuhi kawasan Bandar Dara Chini.
BERNAMA

KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini akan menjadi manifestasi kesinambungan kejayaan gabungan Muafakat Nasional dan permulaan kepada kejayaan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, calon yang diketengahkan BN bagi PRK DUN Chini iaitu Mohd Sharim Md Zain adalah calon pertama yang mewakili PN.

"Sebelum ini, kita menang (lima PRK sebelum ini) dengan bergaya atas Muafakat Nasional dan atas semangat penyatuan ummah.

"Tetapi kali ini kita mahu melihat bahawa PN walaupun (ia) belum berdaftar secara rasmi, namun semangat PN ini diterjemahkan sebagai kesinambungan kejayaan PRK yang lalu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas makan tengah hari bersama masyarakat Kampung Bukit Udang di Pekan, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid bersama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menghadiri program ramah mesra bersama masyarakat Orang Asli di Tasik Mentiga, Pekan.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, pemilihan Mohd Sharim dilihat berupaya membawa suara anak-anak muda dan peneroka Felda sekiranya diberikan mandat.

"Saya yakin beruntunglah generasi Felda di Chini kalau memberikan amanah kepada Mohd Sharim sebagai pilihan pertama dan beroleh kejayaan cemerlang (sewaktu pengundian) PRK Chini, 4 Julai nanti," katanya.

Umno dan BN memenangi lima daripada 10 PRK yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

PRK DUN Chini yang diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 7 Mei lalu akibat serangan jantung.

Ia menyaksikan calon BN daripada UMNO Mohd Sharim ditentang dua calon Bebas iaitu ahli perniagaan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, yang juga penulis blog.

DUN Chini, satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, menyaksikan PRK pertama di negara ini selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 8:54 PM