Imigresen menyerbu sebuah pusat perniagaan menjahit pakaian dan menahan 27 warga asing yang bekerja di premis yang beroperasi  di Shah Alam semalam. FOTO Ihsan Imigresen.
Imigresen menyerbu sebuah pusat perniagaan menjahit pakaian dan menahan 27 warga asing yang bekerja di premis yang beroperasi di Shah Alam semalam. FOTO Ihsan Imigresen.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Seramai 27 warga asing terdiri daripada warga Nepal dan Bangladesh bekerja sebagai tukang jahit ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di kawasan pusat perniagaan premis tiga tingkat di Shah Alam, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam operasi dijalankan itu, pihaknya berjaya menahan 26 lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Nepal berusia antara 22 hingga 45 tahun.

Menurutnya, dalam serbuan seramai 58 warga asing diperiksa dan hasilnya seramai 27 individu itu ditahan untuk siasatan lanjut.

"Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Ibu Pejabat Imigresen Malaysia menyerbu premis pada jam 4 petang dengan kekuatan seramai 20 orang pegawai imigresen.

"Semasa serbuan dilakukan, warga asing ini tidak menyedari kehadiran pegawai serbuan dan tidak sempat untuk melarikan diri," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, dua notis untuk hadir memberi keterangan turut diberikan kepada pekerja warga tempatan bagi membantu siasatan dan mengesan pemilik premis.

"Hasil risikan, premis diserbu itu beroperasi seperti biasa setiap hari di kawasan perniagaan tumpuan warga tempatan bagi membuat tempahan pakaian.

"Premis juga dilengkapi alat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan sebarang aktiviti penguatkuasaan.

"Sekitar kawasan perniagaan turut diletakkan beberapa 'tonto' untuk menghidu pergerakan agensi penguatkuasaan," katanya.

Namun, katanya, cubaan tonto mengganggu operasi berjaya dipatahkan dengan ketangkasan pegawai operasi.

"Antara kesalahan yang dikenalpasti hasil serbuan ialah warga asing tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, langgar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

"Kesemua tahanan ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara dan diusir," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, ada antara premis perniagaan itu melakukan cubaan untuk melindungi warga asing dengan menipu anggota operasi bahawa tiada warga asing yang bekerja.

"Hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati terdapat premis perniagaan melakukan ubahsuai bangunan dengan membuat laluan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

"Premis yang diserbu itu juga menggajikan warga asing paling ramai berbanding premis lain yang sudah diserbu sebelum ini.

"Maklumat awal yang diperoleh, kebanyakan premis dimiliki oleh warga tempatan dan di 'Ali Baba' kan perniagaan kepada warga asing.

"Premis yang menggajikan tukang jahit ini menjalankan perniagaan dengan menerima tempahan dari pengusaha tekstil. Tempahan biasa juga diterima tetapi hanya dari pelanggan tetap sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 7:42 PM