DR Mohd Nor Hajar membuat imbasan Kod QR untuk menderma di tabung Masjid Al-Hikmah. FOTO Amir Mamat
DR Mohd Nor Hajar membuat imbasan Kod QR untuk menderma di tabung Masjid Al-Hikmah. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


MASJID Al-Hikmah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Alor Gajah di Alor Gajah, menjadi cawangan pertama universiti itu yang menggunakan teknologi imbasan Kod QR kepada jemaah yang mahu menyalurkan derma ke tabung masjid berkenaan.

Pengerusi masjid itu, Datuk Dr Mohd Nor Hajar Hasrol Jono berkata, kemudahan itu diwujudkan sebagai satu kaedah pembayaran secara dalam talian menerusi aplikasi imbasan Kod QR yang disediakan menerusi Google Play Store atau Apple App Store.

Katanya, menerusi kaedah itu, penyumbang dapat menyalurkan derma dengan mudah, cepat dan selamat selain memudahkan pihak pengurusan masjid untuk membuat pengiraan kutipan sejurus selepas solat Jumaat.

"Inisiatif ini turut memberi nilai tambah kepada pihak pengurusan Masjid Al-Hikmah dalam menyediakan kemudahan teknologi yang lebih baik kepada jemaah, malah, ia bertepatan dengan situasi normal baharu yang mana jemaah digalakkan menggunakan bayaran melalui platform tanpa tunai dengan mudah dan cepat.

"Jemaah hanya perlu mengimbas telefon bimbit mereka pada Kod QR yang disediakan sebelum menetapkan kadar sumbangan untuk tabung masjid," katanya ketika ditemui di masjid itu, hari ini.

UiTM memperkenalkan kemudahan UiTMPay QR yang berfungsi sebagai kesaling boleh operasian antara e-dompet dan bank berlesen.

Sementara itu, Mohd Nor Hajar Hasrol berkata, semua jemaah di Masjid Al-Hikmah tidak terkecuali untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika menunaikan solat Jumaat.

Katanya, selain perlu mengambil wuduk dari rumah atau asrama, mereka juga perlu membawa sejadah sendiri, memakai pelitup muka serta menggunakan pembasmi kuman ketika sampai di rumah ibadah berkenaan.

"Kami juga menetapkan setiap jemaah dijarakkan satu meter sebagai mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan sehingga kini saya dapati jemaah di sini tiada masalah untuk mematuhinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 3:44 PM