Asrizal Aris

USAHA pengurusan Masjid Al-Faizin, Seksyen 28, Shah Alam melancarkan tabung derma pandu lalu sejak 16 April lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat, termasuk sumbangan daripada penduduk bukan Islam.

Nazir masjid, Dr Muhammad Tawfik Yaakub berkata, kutipan tabung yang beroperasi dari 7 pagi hingga 5.30 petang itu pernah mencecah RM2,800 sehari.

Katanya, dia bersyukur selepas inisiatif itu berjaya dan mampu menampung semula perbelanjaan masjid yang terjejas apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana orang ramai tidak dibenarkan berjemaah di masjid.

"Operasi masjid ini bergantung 100 peratus daripada sumbangan orang ramai termasuk kos elektrik, bekalan air, pembayaran gaji kakitangan dan elaun ahli jawatankuasa, kos baik pulih dan sebagainya.

"Apabila tiada jemaah yang hadir ke masjid, kami mengalami kesukaran memandangkan kos pengurusan masjid mencecah RM15,000 sebulan dan kami putuskan untuk melancarkan tabung masjid pandu lalu.

"Alhamdulillah, sambutan menggalakkan selepas selama sebulan masjid tidak menerima sumbangan orang ramai untuk menampung perbelanjaan pengurusan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

ORANG ramai memberhentikan kenderaan untuk memasukkan sumbangan ke dalam tabung derma pandu lalu. FOTO Muhd Asyraf Sawal
ORANG ramai memberhentikan kenderaan untuk memasukkan sumbangan ke dalam tabung derma pandu lalu. FOTO Muhd Asyraf Sawal

Muhammad Tawfik yang juga pensyarah kanan di Universiti Malaya (UM) berkata, setakat hari ini, pihak masjid melalui tabung pandu lalu memperoleh kutipan keseluruhan yang dianggarkan RM40,000.

Menurutnya, banyak hikmah yang dapat dilihat di sebalik ujian yang ditempuhi pihak masjid.

"Antara hikmahnya, menunjukkan betapa istimewanya Ramadan apabila orang berpusu-pusu mengejar pahala berganda dengan bersedekah, malah orang bukan Islam turut hentikan kenderaan untuk beri sumbangan.

"Selain itu, golongan yang bekerja makan gaji seperti penghantar makanan dan pekerja kontrak juga turut menyumbang walaupun kelihatan mereka juga memerlukan wang.

"Oleh itu, kami kongsikan sumbangan ini dengan membeli barangan keperluan harian dan makanan untuk disumbangkan kepada kumpulan yang memerlukan selepas terjejas bekalan makanan akibat PKP," katanya.

Mengulas lanjut berhubung tabung pandu lalu, Muhammad Tawfik berkata, hanya sebuah tabung sahaja yang disediakan di tengah jalan laluan masjid dan dipantau oleh pegawai dan kakitangan bertugas.

Katanya, hanya Masjid Al-Faizin sahaja yang melakukan inisiatif itu di daerah berkenaan memandangkan masjid mereka tidak mempunyai sumber pendapatan luar seperti pelaburan dan perniagaan di kedai-kedai.

"Masjid ini berasal daripada sebuah surau yang dinaik taraf dan kos operasinya 100 peratus bergantung daripada sumbangan jemaah terutamanya jemaah solat Jumaat.

"Sebelum melancarkan tabung masjid pandu lalu, kami cuba meminta sumbangan di media sosial, namun tidak mendapat sambutan sehinggalah idea ini tercetus tanpa meniru mana-mana masjid." katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh salurkan ke akaun Bank Islam atas nama Masjid Al-Faizin dengan nombor akaun 1203 801000 6675.

TABUNG derma pandu lalu yang diletakkan di tengah jalan laluan hadapan masjid. FOTO Muhd Asyraf Sawal
TABUNG derma pandu lalu yang diletakkan di tengah jalan laluan hadapan masjid. FOTO Muhd Asyraf Sawal

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 8:59 PM