GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan kebimbangan dengan situasi kehadiran dan sikap segelintir jemaah yang ke masjid terutama untuk menunaikan solat Jumaat.

Justeru itu, Sultan Mizan menitahkan semua masjid menyediakan kanopi mencukupi di ruang luar, termasuk di kawasan parkir masjid atau ruang kosong bersesuaian bagi membolehkan lebih ramai jemaah dapat mendirikan solat jumaat.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, berkata jawatankuasa masjid juga diminta memainkan peranan berterusan untuk menggalakkan jemaah hadir ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat.

"Masjid yang mempunyai ruang solat bertingkat hendaklah dibuka dan digunakan sepenuhnya untuk kegunaan solat Jumaat.

"Walaupun pengimbas suhu badan tidak diwajibkan namun semua jemaah diwajibkan merekodkan butiran dengan dengan menggunakan aplikasi MySejahtera atau ditulis pada buku disediakan di pintu masuk masjid dan surau.

"Mesyuarat juga bersetuju untuk menangguhkan bacaan qunut nazilah ketika solat Jumaat dan solat hajat selepas Jumaat," katanya melalui kenyataan dikeluarkan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, masjid dan surau yang dikenakan arahan penutupan di bawah Seksyen 18 (1) (d), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, (Akta 342) tidak dibenarkan melaksanakan aktiviti sepanjang tempoh penutupan.

Katanya, Jabatan Agama negeri dan daerah juga diminta membuat pemantauan kehadiran jemaah lelaki ke masjid untuk solat Jumaat.

"Baginda juga turut merayu supaya semua rakyat sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan menjaga kebersihan dan keselamatan diri serta keluarga bagi mengurangkan peningkatan kes positif Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 5:41 PM