Anggota Bomba memadam kebakaran di tingkat bawah sebuah bangunan tiga tingkat yang musnah dalam kebakaran di Taman Semarak. FOTO IHSAN BOMBA
Anggota Bomba memadam kebakaran di tingkat bawah sebuah bangunan tiga tingkat yang musnah dalam kebakaran di Taman Semarak. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Lima sekeluarga terselamat dan berjaya dibawa keluar oleh pasukan bomba selepas rumah kedai di tingkat bawah bangunan tiga tingkat yang didiami mereka itu musnah dalam kebakaran di Taman Semarak, hari ini.

Dalam kejadian itu, seorang Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim dan salah seorang mangsa kebakaran itu turut mengalami sesak nafas ketika kebakaran berlaku.

Mereka kemudian dibawa ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 5.13 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Kulim yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Hamizul Azwan Hamdan bersama 17 anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Setibanya di lokasi, Komander Operasi melaporkan terdapat kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai kelas A tiga tingkat dengan kemusnahan 85 peratus di tingkat bawah.

"Namun semua lima mangsa di tingkat dua bangunan itu berjaya diselamatkan dengan bantuan anggota bomba menggunakan tangga," katanya di sini hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, kesemua mangsa yang selamat berusia antara 24 hingga 64 tahun manakala seorang wanita berusia 58 tahun dan lelaki 64 tahun dibawa ke hospital kerana faktor usia dan sesak nafas.

Beliau berkata, operasi pemadaman turut dibantu anggota BBP Kulim Hi-Tech dan BBP Penanti, Pulau Pinang.

"Api berjaya dikawal sepenuhnya. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan parah dilaporkan dalam kebakaran dan punca serta kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 12:12 PM