Dua individu diselamatkan selepas terkandas di atas Bukit H, Taman Semarak di Kota Kuala Muda dekat Sungai Petani hari ini. Foto Ihsan JBPM
Dua individu diselamatkan selepas terkandas di atas Bukit H, Taman Semarak di Kota Kuala Muda dekat Sungai Petani hari ini. Foto Ihsan JBPM
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Dua individu yang terkandas ketika mendaki Bukit H, Taman Semarak di Kota Kuala Muda dekat sini, ditemukan selamat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.56 malam.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu yang diketuai Shaari Hashim tiba di lokasi pada 8.01 malam.

"Bilik Kawalan BBP Tikam Batu menerima panggilan kecemasan melalui talian terus ke balai daripada pemanggil yang memaklumkan bahawa terdapat insiden dua mangsa terkandas di bukit berkenaan.

"Operasi itu disertai lapan anggota dan dua jentera dari BBP Tikam Baru serta dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Petani untuk mencari dua mangsa terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, dua mangsa yang terdiri dari seorang lelaki berusia 29 tahun dan seorang wanita berusia 23 tahun itu ditemuikan pada jarak kira-kira satu kilometer dari kaki bukit.

"Mereka ditemui dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya kepenatan selain boleh turun dengan sendiri serta pulang ke rumah.

"Operasi tamat itu tamat sepenuhnya pada 9.16 malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 10:17 PM