GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Bukit Mertajan: Sebuah kilang memproses bahan kitar semula di Permatang Tinggi di sini musnah dalam kebakaran malam tadi, namun tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kecederaan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda Faisyal Riza Abd Samad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.51 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, api sedang marak dan sebahagian kilang memproses bahan kitar semula yang berkeluasan 3,716 meter persegi itu telah terbakar. Tiada mangsa yang terlibat dalam kebakaran itu.

"Pasukan bomba telah membuat pemeriksaan di lokasi kejadian dan semua pegawai serta anggota turut memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap untuk melakukan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman api," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, selain BBP Bandar Perda, lebih 100 anggota bersama jentera dari BBP Bukit Mertajam, BBP Perai, BBP Sungai Bakap dan Pasukan Bomba Sukarela turut terlibat dalam operasi itu.

Jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 1:06 PM