VEVEONAH MOSIBIN
VEVEONAH MOSIBIN
BERNAMA

BARU-BARU ini tular video seorang penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin yang terpaksa memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah demi mendapatkan talian Internet untuk menduduki peperiksaan atas talian.

Video yang dimuat naik pada 12 Jun lalu di platform YouTubenya, Veveonah menerima lebih 150,000 tontonan dan dibanjiri reaksi serta komen positif selain turut dikongsi UMS.

Menerusi video terbaharu dimuat naik pada 14 Jun lalu, Veveonah yang berasal dari Kampung Sapatalang, meluahkan rasa gembira dengan sokongan dan motivasi yang diterimanya susulan perkongsian video itu.

"Hari ini adalah antara hari paling bersejarah, sebenarnya hari ini saya berasa sangat gembira dan teruja kepada semua subscribers…saya sudah mempunyai lebih 1,330 subscribers.

"Saya sangat menghargai sokongan anda. Terima kasih sebab sokong saya punya video termasuk pihak universiti sendiri yang berkongsi video saya…saya akan cuba untuk balas komen dan hasilkan lebih banyak video yang menarik," katanya.

Sebelum ini, Veveonah memuat naik video berdurasi 11 minit bertajuk "24 hours on tree challenge" (cabaran 24 jam di atas pokok) memaparkan pengalaman dirinya yang perlu memanjat pokok demi mendapatkan capaian Internet yang cukup kuat untuk menjawab peperiksaan atas talian.

Pada awalnya, pelajar Asasi Sains itu sudah membina pondok kecil berhampiran rumahnya untuk tujuan itu namun rosak disebabkan hujan beberapa jam sebelum peperiksaan bermula.

Berbekalkan kelambu, dua telefon bimbit, bank kuasa, alat tulis serta nasi dan minuman, Veveonah berjaya menjawab dua kertas peperiksaan sepanjang berada di atas pokok itu.

Video itu turut memaparkan detik cemas Veveonah berdepan dengan tebuan ketika sedang menjawab peperiksaan serta keputusannya untuk bermalam di atas pokok berikutan cuaca yang semakin gelap.

Sebelum ini Veveonah turut memuat naik beberapa video mengenai kehidupannya di kampung, antaranya cara membina telaga bawah tanah secara tradisional dan mengopek kelapa tanpa menggunakan peralatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 8:24 PM