GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


TIGA lagi kes positif Covid-19 dilaporkan di Sarawak hari ini dengan kesemuanya dikesan di Bintulu.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, ketiga-tiga kes membabitkan satu keluarga yang mempunyai kontak rapat dengan seorang penuntut perempuan yang disahkan positif Covid-19, Ahad lalu.

"Kesemua kes itu disahkan positif Covid-19 hasil saringan dan pengesanan kontak kepada kes ke-557 di Sarawak.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak kepada 560 orang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes ke-557 membabitkan seorang penuntut di Mukah yang pulang ke kampungnya di Bintulu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pertengahan Mac lalu.

Hasil siasatan awal mendapati, penuntut itu pernah menerima kunjungan saudara mara pada perayaan Aidilfitri baru-baru ini.

Katanya, tiada kes baru yang sembuh dan discaj dari hospital hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang sembuh kekal 534 orang.

"Jumlah yang masih menerima rawatan di wad isolasi adalah sembilan orang," katanya.

Covid-19 meragut 17 nyawa di Sarawak dengan korban pertama membabitkan lelaki berusia 60 tahun pada 17 Mac lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 3:42 PM