GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


KES baharu positif Covid-19 di Sarawak meningkat semula apabila empat kes direkodkan hari ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, empat kes baharu itu masing-masing satu di Kuching, Serian, Bintulu dan Tanjung Manis.

"Ia menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Sarawak sebanyak 549 kes sehingga kini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Sarawak pernah merekodkan sifar kes baharu Covid-19 selama lapan hari berturut-turut sejak 14 Mei hingga 21 Mei lalu.

Bagaimanapun, pada 22 dan 23 Mei masing-masing mencatatkan satu kes, sebelum sifar semula, semalam.

Kes pertama yang direkodkan di Tanjung Manis hari ini dipercayai membabitkan seorang pelajar perempuan sebuah kolej swasta di Kuching yang balik ke kampungnya di Belawai pada 12 Mei lalu.

Pelajar terbabit kemudian diletakkan di bawah Perintah pengawasan kuarantin di rumah bermula 22 Mei hingga 25 Mei.

Petang semalam, ujian swab terhadap pelajar berkenaan didapati positif dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) datang ke rumahnya untuk membawanya ke Hospital Sibu bagi menjalani rawatan.

Ketika ini KKM berusaha mengesan kontak rapat pelajar terbabit di kawasan kampungnya.

Berikutan kes itu, Tanjung Manis yang sebelum ini dikategorikan sebagai zon hijau, kini diletakkan dalam zon kuning.

Selain Tanjung Manis, turut bertukar status dari zon hijau ke zon kuning ialah Serian dan Bintulu menjadikan jumlah zon kuning sebanyak lima daerah manakala zon hijau pula 35 daerah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 4:28 PM