Amir Abd Hamid dan Yusmizal Dolah Aling


LEBIH 2,000 warga asing yang berkerja sebagai tukang gunting rambut di negara ini perlu menjalani ujian Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) sudah diteliti bagi memastikan operasi terbabit dijalankan sewajarnya.

Katanya, mengikut data yang ada ketika ini, jumlah pesakit membabitkan warga tempatan adalah kurang dan yang membabitkan warga asing perlu diteliti.

"Salah satu daripada syarat untuk mereka mulakan kerja di kedai ialah perlu laksanakan ujian Covid-19 untuk warga asing, termasuk tukang gunting rambut.

"Jadi kita sudah jalankan syarat ini dan kita dapati ada kes yang positif, itulah kebimbangan kita.

"Tetapi kalau kita lihat dari segi gejala dan sebagainya, walaupun tukang gunting rambut itu tak ada gejala, kita tetap akan asingkan mereka di hospital dan akan saring kontak rapat dalam kalangan rakan mereka dan juga teman serumah," katanya pada sidang media harian, hari ini.

Gambar hiasan. FOTO Bernama
Gambar hiasan. FOTO Bernama

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya akan melihat SOP bersama-sama agensi untuk memastikan kempen Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Chini.

"Kita akan lihat daripada senarai kes yang kuarantin atau pun mereka yang dimasukkan ke wad.

"Tapi kalau pesakit yang tenat contohnya, jadi mereka mungkin tidak dibenarkan keluar ke wad untuk mengundi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 8:32 PM