Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Mahaizura Abd Malik


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang melihat dan memperhalusi cadangan prosedur operasi standard (SOP) untuk pelaksanaan operasi kedai gunting rambut ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya sudah menerima surat permohonan daripada pihak berkaitan bagi SOP pelaksanaan kedai gunting rambut.

"Kita tengah perhalusi SOP itu kerana industri ini membabitkan sentuhan dengan pelanggan jadi kita hendak pastikan bagaimana elak jangkitan Covid-19.

"SOP sudah ada dan kita sedang lihat perhalusi pelaksanaannya dan apa yang kita perlukan adalah data, kita hendak tahu berapa ramai pekerja asing gunting rambut.

"Data ini kita perlu tahu dulu sebelum kita mencadangkan untuk buka kedai gunting rambut," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau mengulas mengenai langkah terkini KKM berkenaan surat permohonan dikemukakan persatuan dan pengusaha perkhidmatan gunting rambut.

Terdahulu Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, kerajaan masih belum membuat keputusan sama ada membenarkan kedai gunting rambut beroperasi.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 5:38 PM