Isma Ismail; Sri Ayu Kartika Amri dan Yusmizal Dolah Aling


KEPUTUSAN sama ada perkhidmatan gunting rambut dibenarkan beroperasi atau sebaliknya akan ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak lama lagi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya dimaklumkan persatuan gunting rambut sudah menghantar cadangan prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan.

Bagaimanapun, katanya, cadangan SOP itu diserahkan kepada MKN dan KKM untuk diteliti.

"MKN dan KKM sedang meneliti SOP yang dicadangkan oleh persatuan terbabit kerana terdapat pelbagai kategori yang perlu diambil kira.

"Oleh itu, perlu ada SOP yang diperketatkan, bagaimanapun keputusan bergantung kepada MKN dan KKM kerana masih ramai lagi yang takut untuk gunting rambut," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, belum ada keputusan mengenainya lagi.

"Saya tak tahu sama ada keputusan selepas Aidilfitri atau selepas 9 Jun ini.

"Berkemungkinan mereka akan memanggil persatuan terbabit untuk duduk berbincang sebelum keputusan dibuat," katanya.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 3:47 PM