Ekhwan Haque Fazlul Haque


KEGAGALAN tukang gunting rambut warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 untuk memastikan mereka bebas wabak itu dikhuatiri boleh 'meranapkan' sekali lagi industri gunting rambut yang baru saja dibenarkan beroperasi Rabu lalu.

Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia, T N Winda Mohd Tahir berkata, majikan yang menggajikan tukang gunting warga asing perlu lebih bertanggungjawab memastikan pekerja bebas pandemik itu.

Menurutnya, susulan kes tukang gunting warga Pakistan positif Covid-19 semalam, orang ramai mula bimbang menggunting rambut.

"Industri ini baru saja kembali bernafas jadi bila ada kes sebegini sudah pasti masyarakat menjadi takut menggunting rambut.

"Lebih membimbangkan kerajaan akan menarik semula kebenaran hanya disebabkan kedegilan individu tertentu.

"Ini tidak adil kepada penggunting rambut khususnya rakyat tempatan yang memberikan kerjasama baik dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam mengesahkan seorang tukang gunting rambut warga Pakistan berkerja di Kuala Lumpur dijangkiti Covid-19.

Kes berlaku di sebuah premis perniagaan di apartmen servis di Setapak, Kuala Lumpur membabitkan beberapa individu lain yang menjadi kontak rapat kepada lelaki terbabit.

Winda berkata, setiap penggunting rambut bukan hanya bertanggungjawab kepada diri sendiri dan pelanggan masing-masing malah pemain dalam industri juga bakal terkesan jika aspek kesihatan dan kebersihan dipandang remeh.

Kerajaan sebelum ini membenarkan industri gunting rambut dan salun beroperasi semula dengan mematuhi syarat SOP ketat antaranya memakai pelitup muka, perisai muka dan peralatan gunting perlu disanitasi untuk memastikan bebas kuman.

Berita berkaitan

Covid-19: 40 kontak rapat tukang gunting rambut dikesan [METROTV]

Boleh minta bukti tukang gunting bebas Covid-19 [METROTV]

Tukang gunting rambut disyaki positif Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 3:00 PM